4.29.2009

Bintang Kecil- Pendidikan Dengan Celupan Allah

Nabi saw bersabda, bermaksud: 'Anak kecil itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibubapanya yang membentuknya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.' Mengapa tidak disebut Islam dalam hadis di atas? Ada ulama yang menyatakan bahawa jika dibiarkan anak itu membesar dalam keadaan sendirinya, mereka akan mencari Allah dan petunjuk Islam kerana Islam itu adalah fitrah semulajadi manusia.

Tetapi Nabi saw menyebut: "Ijtaalat hum usSyayatin' (Syaitan yang menyesat dan menyelewengkan mereka). Siapakah Syaitan itu? Allah berfirman, bermaksud: " ..yang mewas-waskan dalam hati manusia, dari kalangan Jin dan manusia." (rujuk surah A An'am,ayat 112). Syaitan dari kalangan jin adalah jelas. Di kalangan manusia pula, mereka yang bersifat Syaitan adalah manusia yang menyesatkan manusia lain dari jalan Allah. Justru, tak pelik jika sekiranya ibubapa juga boleh menjadi syaitan terhadap anaknya. Syaitan yang bagaimana?

Nabi memberitahu bahawa anak-anak adalah seperti kain putih. Ia bersedia menerima apa-apa warna yang dicelup kepadanya. Biru yang dicelup, birulah ia. Hijau yang dicelup, hijaulah ia. Hitam yang dicelup, hitamlah ia. Pendek kata warna yang dicelup kepada kain putih tadi amat penting untuk memastikan warna terbaik bagi kain tersebut. Allah mengingatkan kita, bermaksud: 'Celupan Allah. Siapakah yang lebih baik celupannya dari celupan Allah. Dan kami menjadi hamba kepadaNya.' (Surah Al-Baqarah, ayat 138)

Celupan Allah
tentunya Islam. Celupan Allah bererti kita mesti mendidik anak-anak itu supaya kembali kepada fitrah semulajadinya iaitu Islam. Perkenalkan mereka dari kecil tentang Allah, ajarkan mereka Quran, biasakan mereka dengan solat, tutup aurat dan adab. Perkenalkan mereka tentang dosa pahala. Moga-moga mereka dicelup dengan celupan sebenar.

Malangnya, menjadi budaya yang bercanggah dengan Islam apabila anak-anak tadi dibesarkan menurut cara yang bukan diperintah oleh Allah. Quran diganti dengan menyanyi. Hafal lagu lebih penting dari hafaz ayat-ayat Quran. Diajar bermain piano menggantikan mengenal solat. Berfesyen mendedahkan aurat menggantikan adab menutup aurat. Pendek kata kita membesarkan anak-anak dengan cara yang boleh merugikan kita sendiri-dunia dan Akhirat.

Sesetengah ibubapa mahukan anaknya cepat menjadi glamour, cepat kaya melalui publisiti dan gaya hidup yang cukup mudah diraih tanpa banyak usaha. Cara tersebut antaranya dilatih menjadi selebriti, artis dan orang-orang popular secara instant. Tetapi pernahkah ibubapa ini terfikir kesan jangka masa panjang tentang keinginan yang salah itu? Apalah yang boleh diberi syafaat oleh si anak yang menjadi artis popular, selebriti glamour atau bintang handalan di Akhirat kelak untuk ibubapanya? Dirinya sendiri belum tahu untung nasib, sementelah pula mahu menolong orang lain. Bahkan terkadang menjadi musuh pula walaupun terhadap ibubapa dan anak-anak sendiri.

Tetapi anak yang hafaz Quran, insyaAllah bukan sahaja boleh membantu dirinya, bahkan ibubapa dan kaum keluarga. Demikian juga anak yang mati syahid, yang alim dan yang soleh. Nabi saw berpesan bahawa di antara amalan yang boleh memberi manfaat kepada kita selepas mati ialah anak soleh yang mendoakan ibubapanya. Kalau kita didik anak-anak dengan celupan Allah, insyaAllah kita tidak akan menyesal nanti. Pahala sentiasa datang kepada kita selepas mati melalui doa dan amalan anak-anak kita.

Tetapi jika kita tersalah mendidik mereka, tentunya penyesalan kita tidak akan sudah. 'Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.' Dan tentunya untuk mendidik anak-anak dengan celupan Allah ini datangnya dari kesedaran ibubapa, kefahaman yang jelas tentang Islam, kecaknaan tentang implikasi baik dan buruk hasil didikan mereka. Jangan jadi seperti Anakku Sazali, yang menyesal dengan salah didikan. Dunia moden memang cukup mencabar ibubapa. Tetapi cabaran itulah yang mesti ditempuhi-mahu atau tidak-supaya amanah dari Allah itu tidak dipersiakan. Dunia ini pentasnya, Padang Mahsyar itu tempat pengadilannya, Allah itu hakimnya, Syurga atau Neraka itu trofinya.

dipetik daripada www.iluvislam.com
2.20.2009

Anak Luar Nikah.. Episod Sedih Masyarakat Kita

Seorang ramaja wanita mengadu sakit perut. ‘Mungkin gastrik agaknya’, duga ibubapanya. Apabila pemeriksaan kesihatan dilakukan gastrik yang disangka, rupanya ada bayi dalam kandungan.

Ini hanyalah satu gambaran kes yang mungkin biasa dijumpai di klinik dan hospital negara kita. Ini bukan lagi carita nadir dalam masyarakat negara kita.

Tidak sampai 2 bulan di bahagian sakit puan sebuah hospital, seorang teman saya telah temui banyak kes kelahiran luar nikah. Ceritanya lagi pesakit termuda yang pernah beliau temui berumur 15 tahun. Akhirnya diijabkabulkan dengan pasangan lelakinya yang berusia 19 tahun.


Cerita teman saya lagi, apa yang menyedihkan ialah bila melihat ada remaja sebegini yang hadir daripada kalangan yang ibubapa mereka tergolong daripada kalangan mereka yang baik-baik.

Aibnya bukan ditanggung seorang diri, ibubapa terpalit sama.

Juga sejarah hitam buat bayi yang tidak sedikit pun bersalah dan berdosa.

‘Habis anta tak tampar ke?’ tanya saya secara berseloroh.

‘Setakat marah je la, nak tampar kena saman pulak kita’, responnya menerusi yahoo messenger.

Saya mula berfikir, bagaimanakah cara terbaik bila berhadapan dengan kes sedemikian yang kemungkinan besarnya akan saya temui bila bertugas nanti. Cara terbaik untuk merawat kegawatan akhlak masyarakat islam di negara kita.

Agaknya apa tindakan anda? Berikan pandangan anda sebagai perkongsian bersama, mana tahu ada gunanya untuk saya kelak.



Unsur meruntuh jiwa yang melata.

Apabila Pengerusi Halehwal Wanitanya (HEWI) PKPIM, saudari Munirah Bahari daripada mencadangkan agar baju kurang pelajar sekolah yang sedikt nipis ditukar atau ditangani dengan pakaian dalam atau tudung labuh, ramai yang mula menyerang cadangan sebegini. PKPIM dicerca.

Idea dan cadangan yang bertujuan untuk mengurangkan gangguan seksual yang melibatkan remaja dan hubungan seks sebelum perkahwinan dinilai dengan emosi tanpa mengkaji munasabahnya.

Baju nipis, pakaian ketat, rambut yang terurai pastinya menjadi satu tarikan kepada lelaki. Ianya boleh menjadi pemangkin kepada gangguan seksual. Lebih teruk lagi rogol, atau zina dengan rela.

Sikap masyarakat dalam berpakaian pada saya merupakan salah satu penyumbang kepada kes-kes zina dan anak luar nikah. Ianya mukaddimah kepada terangsangnya syahwat.

Apabila ada suara hadir untuk menangani hal sebegini, hanya respon negatif banyak yang kedengaran. Seolah-oleh merelakan gangguan seksual terhadap wanita demi mempertahankan hak wanita dalam berpakaian.

Baju kurung sememangnya menutup aurat, tapi sekiranya kain yang digunakan jarang dan nipis aurat masih dikira tidak ditutup. Syariat masih belum tertunai seratus peratus.

Respon segera yang bersifat negatif terhadap cadangan PKPIM ini sangat menyedihkan saya. Hari ke hari kita berhadapan dengan suasana dalam negara yang bersifat meruntuh bukan membina jiwa. Justeru tidak hairan sekiranya kes-kes anak luar nikah, terlanjur dan sebagainya turut melibatkan remaja telah mendapat didikan sempurna daripada ibubapa. Anak ustaz-ustazah, pak iman dan pak lebai turut dalam bahaya.

Kita sewajarnya mulai bimbang apa nasib generasi mendatang. Nasib anak-anak kita, saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai, masyarakat dan negara.

Sabda nabi saw : Apabila zahirnya zina dalam sebuah kampung, sesungguhnya mereka (ahli kawasan tersebut) telah menghalalkan bagi diri mereka azab Allah. (Riwayat a-Tabrani)

* dipetik daripada blog Abi Ummi Ammu